Angkara Tolak Lamaran | Gadis Dibakar Hidup-hidup

Seorang gadis yang baru dua minggu mengikat tali pertunangan dibunuh kejam apabila dia diserang sebelum dibakar hidup-hidup di depan pintu rumahnya di tingkat sembilan Apartmen Mesra Prima, Kampung Ampang Campuran di sini kelmarin.

Dalam kejadian menyayat hati pada pukul 9.30 malam itu, mangsa P. Yoga Ambiga, 27, seorang kerani sebuah bank di Medan Pasar, Kuala Lumpur mati dalam keadaan seluruh badannya bertukar putih akibat melecur seratus peratus.

Kerani bank rentung selepas diserang dan dibakar

Mangsa cuba diselamatkan oleh jiran namun gagal. Sebelum diserang, Yoga yang membawa bungkusan makanan mahu membuka pintu rumah tetapi terlebih dahulu diserang dan dibakar oleh tiga suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md. Nazri Zawawi berkata, selepas diserang dari belakang, sekumpulan suspek terus menyimbah sejenis cecair dipercayai minyak tanah ke badan mangsa sebelum mencucuh api.

“Tidak sampai lima minit badan mangsa hangus terbakar. Mangsa sempat menjerit namun jiran-jiran gagal menyelamatkan mangsa kerana badannya terbakar sepenuhnya,” kata beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang saksi kejadian itu yang hanya ingin dikenali sebagai Efa, 32, yang juga jiran mangsa berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di rumahnya sebelum terdengar bunyi bising dan suara orang menjerit di luar rumahnya.

“Saya dengar bunyi orang menjerit dua kali sahaja dan kira-kira 10 minit selepas itu saya buka pintu saya tengok ada seorang wanita berada dalam keadaan tertiarap dan seluruh badannya hangus terbakar.

“Dalam masa itu juga ada jiran lain yang datang untuk padamkan api,” katanya.

Efa berkata kejadian itu berlaku begitu pantas kerana selepas 10 minit kemudian mangsa sudah tidak bernyawa dan kejadian itu tidak disedari kakak mangsa yang berada di dalam rumah memandangkan kakaknya itu pekak dan bisu.

“Saya rasa mangsa mungkin telah dipukul terlebih dahulu sebelum dibakar kerana itu jeritan suaranya hanya kedengaran sayup sahaja,” katanya.

Katanya sebelum kejadian itu, terdapat jiran yang melihat kelibat orang luar di kawasan sekitar apartmen sejak pukul 7.30 malam.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close