Wanita Ditipu RM15,230 Lelaki Baru Dikenali Di Agensi Cari Jodoh

Gara-gara terpedaya dengan janji manis lelaki yang baru dikenali menerusi agensi mencari jodoh, seorang gadis berusia 32 tahun mengalami kerugian RM15,230.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa yang juga seorang peniaga di pekan Teluk Intan telah mendaftarkan diri dalam agensi mencari jodoh di Batu Caves, Selangor, pada bulan Mac lalu.

Menurutnya, pada 14 April lalu, mangsa mendapat panggilan menggunakan nombor luar negara daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Darick berusia lingkungan 40-an.

“Lelaki itu memberitahu mangsa bahawa dia mendapat nombornya daripada agensi mencari jodoh di Batu Caves, Selangor dan mengatakan dia berasal serta tinggal di Amerika Syarikat.

“Sejak hari itu, mangsa berhubung dengan lelaki yang mendakwa berketururnan India menggunakan telefon dan laman sosial selain bertukar- tukar gambar sesama mereka.

Lelaki itu turut menabur janji manis mengatakan dia ingin berkahwin dengan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang menambah, lelaki itu juga berjanji akan mengirimkan set barang kemas, dua pasang gaun dan lain-lain untuk wanita itu menggunakan perkhidmatan kurier.

Menurutnya, pada 18 Mei lalu, mangsa menerima panggilan daripada satu syarikat kurier dari Kota Kinabalu, Sabah mengatakan barang yang dikirimkan lelaki itu telah sampai.

“Pekerja syarikat kurier yang dikenali sebagai Hasnah mengatakan mangsa perlu membayar sejumlah wang RM4850 untuk mendapat barangan itu.

“Mempercayai dengan apa yang dikatakan oleh pekerja itu, mangsa memasukkan duit ke akuan pada hari yang sama,” katanya.

Menurutnya, selang beberapa hari kemudian, mangsa menerima satu panggilan daripada syarikat kurier sama mengatakan dia perlu membayar wang dalam mata wang USD dan bukan dalam Ringgit Malaysia.

“Terpedaya dengan katakata pekerja yang dikenali sebagai B Patma Dewi, mangsa terus memasukkan wang berjumlah RM10,380 pada hari sama dan pekerja tersebut mengatakan barangan itu akan dihantar pada 21 Mei lalu.

“Namun, selang beberapa hari kemudian, mangsa sekali lagi menerima panggilan daripada pekerja syarikat kurier mengata barangan yang dihantar ditahan oleh pihak Kastam di Lapangan Terbang Kota Kinabalu kerana bungkusan mengandungi barangan kemas,” katanya.

Katanya, pekerja itu juga meminta mangsa untuk membayar RM18,500 untuk memastikan barangan berkenaan dapat dihantar.

“Mangsa mula menyedari menjadi mangsa sindiket penipuan, dia enggan membayar jumlah wang itu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan, kelmarin.

“Kita percaya ada sindiket penipuan dijalankan di antara lelaki itu dan dua pekerja syarikat kurier. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close