Wan Ahmad Memang Ahli UMNO Tetapi Bukan Timbalan Pengerusi SPR?

Wan Ahmad Wan Omar, ahli Umno cawangan Kubang Bunggor, Pasir Mas, yang menjadi perhatian ekoran pendedahan isu keahlian Umno oleh Setiausaha Agung PKR baru-baru ini, sebenarnya bukan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan oleh itu, dia melahirkan simpati dengan Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Menurut Wan Ahmad, dia perlu menjelaskan hal sebenar setelah nombor kad pengenalannya 490101-03-5179 disebut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai milik Timbalan Pengerusi SPR.

Saifuddin mengaitkan nombor kad pengenalan lelaki itu sebagai dakwaan bahawa Datuk Wan Ahmad ahli Umno Cawangan Kubang Bunggor, Pasir Mas.

“Sebenarnya, ahli Umno Cawangan Kubang Bunggor adalah saya, dan nombor kad pengenalan itu milik saya,” kata Wan Ahmad, peniaga kedai makan yang ditemui Sinar Harian, semalam.

Wan Ahmad berkata, meskipun kenyataan Saifuddin tidaklah menjejaskan dirinya, namun dia berasa simpati kepada Datuk Wan Ahmad yang dituduh ahli Umno hanya sebab nama sama dengannya.

“Apa lagi sehingga dia (Datuk Wan Ahmad) digesa letak jawatan,” katanya.

Sinar Harian, 26 April lalu menyiarkan kenyataan Saifuddin mendakwa Datuk Wan Ahmad dan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai ahli Umno lalu mencabar kedua-duanya membuat penafian sebelum beliau mendedahkan lebih terperinci maklumat keahlian mereka.

Saifuddin turut desak Abdul Aziz dan Datuk Wan Ahmad lepaskan keahlian mereka bagi membuktikan SPR bebas dan berkecuali.

Saifuddin turut sertakan maklumat bahawa Wan Ahmad bin Wan Omar, kad pengenalan bernombor 490101-03- 5179 dan kad pengenalan lama 2756290 adalah ahli Umno bernombor 2374564 di cawangan Kubang Bunggor, Bahagian Pasir Mas, Kelantan.

Apabila ditunjukkan kepadanya maklumat itu, Wan Ahmad berkata: “Ia berkaitan dengan diri saya, bukan Timbalan Pengerusi SPR.”

Datuk Wan Ahmad dalam satu kenyataan disiarkan Sinar Harian, 3 Mei lalu nafi beliau ahli Umno sekali gus menuntut Saifuddin mohon maaf secara terbuka.

Saifuddin dalam susulan sehari kemudian, pertahan dakwaan itu dengan akui sudah kemukakan ‘bukti’.

“Saya tak peduli dengan penafian dibuat. Saya telah kemukakan bukti. Jika bukti saya salah, kemukakan yang benar. Itu persoalan utama,” katanya

Facebook Comments
Close