Tengku Mahkota Johor Pertahan Pembidaan Plat WWW1 Oleh Sultan Johor

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim bertitah mempertahankan pembidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh ayanda baginda Sultan Johor sambil menegaskan, kerabat diraja Johor tidak mengambil sebarang wang daripada kerajaan.

“Kerabat diraja Johor tidak ambil wang kerajaan. Sejak era Almarhum Sultan Ibrahim,” titah baginda menerusi mesej Twitter lewat semalam.

Baginda juga bertitah bahawa pihak-pihak yang mempertikaikan perkara itu boleh bertanya kepada Menteri Besar Johor ataupun mana-mana pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Dalam mesej itu, baginda juga bertitah bahawa wang yang diperuntukkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail dan baginda sendiri dimasukkan ke dalam Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim.

“Tujuan yayasan-yayasan ini ialah untuk membantu rakyat dan untuk membantu Kerajaan Negeri Johor,” kata Tunku Ismail sambil menambah, baginda sendiri, sejak menjadi Raja Muda, tidak mengambil “satu sen pun daripada kerajaan, sehingga ke hari ini.”

“Ia wang rakyat. Jadi, sebelum membuka mulut, selidik,” titah baginda.

Mesej balas Tunku Ibrahim menyusul pandangan diutarakan oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin semalam.

Antara lain Nizar menulis bahawa “RM520 ribu untuk plat nombor pendaftaran WWW 1. Tak akan hendak letak kat kereta Proton atau motor kut?”

“Ramai lagi rakyat yang masih kais pagi makan pagi kais petang makan petang!” kata beliau.

Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri itu juga menulis bahawa “RM520 ribu boleh dibelanjakan membantu rakyat Melayu Johor yang masih ramai miskin serta memerlukan bantuan untuk keperluan hidup, bina 20 rumah PPRT,” katanya lagi.

Laporan media menyebut nombor plat kenderaan WWW 1 berjaya dibida oleh Sultan Johor dengan tawaran tertinggi sebanyak RM520,000.

Sultan Ibrahim Ismail mendahului 9,999 pembida lain termasuk Yang di-Pertuan Agong, yang memenangi nombor plat WWW 5 (RM220,000); Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memenangi nombor plat WWW 15 (RM24,200).

Baginda memang dikenali sebagai peminat kenderaan mewah yang memiliki koleksi kereta antik dan model terbaru.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close