A Samad Said Gesa Supaya Henti Ganggu Ambiga

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa beberapa pihak supaya berhenti mengganggu dan mengancam peribadi Datuk S Ambiga.

Pengerusi Bersama Bersih, Datuk A Samad Said berkata, perbuatan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana Ambiga telah berusaha untuk memperbaiki kesejahteraan rakyat di negara ini.

Menurutnya, pihak berwajib seharusnya tampil membela nasib Ambiga kerana tindakan beberapa pihak yang membuat demonstrasi ‘aman’ di kediaman Ambiga sebagai melampaui batas.

“Jika kerajaan dan pihak berwajib senyap, ini bermakna mereka menyokong kerja-kerja tidak bermoral ini.

“Bukan hanya Ambiga seorang yang menuntut pilihan raya bersih dan adil, sebaliknya ia disokong pelbagai pihak termasuk 19 ahli jawatan kuasa Bersih dan 84 pertubuhan bukan kerajaan serta ribuan rakyat di negara ini,” katanya pada sidang media, semalam.

Sinar Harian, 11 Mei lalu melaporkan, beberapa peniaga dari Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) telah bertindak membuka gerai di sekitar kawasan kediaman Ambiga sebagai simbolik menuntut ganti rugi berjumlah lebih RM200,000 daripada 200 aduan penjaja kecil di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman gara-gara perniagaan mereka terganggu ekoran Bersih 3.0.

Seramai 20 orang termasuk dari Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tunku Abdul Rahman berkumpul dan membuka gerai burger selama satu jam bermula jam 2 petang.

Tambahnya, perbuatan mengganggu Ambiga perlu dihentikan serta-merta.

“Sebagai warga negara tang telah melalui kehidupan aman di negara ini, saya merayu agar semua rakyat dapat memberikan budi pekerti terbaik dan berhenti daripada terus mengganggu atau mengancam Ambiga,” katanya.

Facebook Comments
Close