Remaja Lepasan SPM Ditahan Rogol Gadis 13 Tahun

Seorang remaja yang baru menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Mac lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan merogol teman wanitanya yang juga pelajar tingkatan satu, September tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, 18, yang berasal dari Kampung Gelugor Raja Haji Tahir, di sini, mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 6 September tahun lalu kira-kira jam 1 pagi hingga 7 pagi di dalam sebuah bilik di Kampung Gelugor Kedai, di sini, telah merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Zainal Abidin kemudiannya menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu menyimpan barang curi.

Tertuduh mengaku menyimpan komponen enjin motosikal milik Che Maimunah Ibrahim, 51, di tepi jalan Kampung Gelugor Kedai pada 23 April lalu kira-kira jam 4 pagi.

Bagaimanapun, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 6 Jun depan untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan sosial tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan tertuduh adalah pesalah di bawah umur.

Rozianti membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 oleh seorang penjamin sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close