Remaja Didakwa Di Makhamah Kerana Tuntut Hutang RM2?

Bengang hutang lama RM2 masih tidak dijelaskan walaupun beberapa kali diminta, seorang remaja bertindak nekad merampas cukai jalan motosikal milik ‘penghutang’ itu.

Ia bertujuan memeras agar penghutang tersebut membayar balik hutang, tetapi dengan bayaran tambahan sebanyak RM10, dalam satu kejadian di Kampung Seberang Tepoh, di sini, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tindakan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Tertuduh, 17, dari Kampung Seberang Tepoh, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Dia mengaku tidak bersalah melakukan pemerasan terhadap mangsa, 17, yang juga rakannya dengan mengambil cukai jalan motosikal milik mangsa dan mendorong mangsa menyerahkan RM10 di Jalan Kampung Seberang Tepoh, di sini, kira-kira jam 8.10 pagi, 10 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Rozianti menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close