Ranking FIFA Terbaru Malaysia 9 Mei 2012

Skuad bola sepak kebangsaan kembali memperbaiki kedudukan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) apabila berada pada kedudukan ke-153.

Menurut ranking terkini yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak dunia itu hari ini, Malaysia naik tiga anak tangga daripada kedudukan ke-156, bulan lepas.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-148 pada Januari, ke-150 pada Februari dan ke-152 pada Mac.

Peningkatan ranking itu hasil kemenangan skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal yang membelasah pasukan Sri Lanka 6-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam baru-baru ini.

Di kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia kekal di tempat kelima di belakang Vietnam (97), Thailand (141), Filipina (148) dan Indonesia (151).

Di peringkat Asia, kedudukan Malaysia naik satu anak tangga pada kedudukan ke-26 dari 46 negara.

Skuad Harimau Malaya dijangka mampu memperbaiki lagi ranking menerusi beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa yang diatur oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk bertemu Filipina pada 1 Jun di tempat sendiri serta menentang Singapura pada 8 dan 12 Jun di sini dan tempat lawan.

Sementara itu, juara Piala Dunia 2010, Sepanyol mengekalkan kedudukan selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,442 mata diikuti Jerman yang mengutip 1,345 mata manakala pasukan dari Amerika Selatan, Uruguay menghuni tangga ketiga dengan 1,309 mata.

Ranking bola sepak dunia itu merangkumi keseluruhan 205 negara. — Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close