Pusat Kesihatan Rentap Lengan Kanak-kanak Tanpa Bius

Seorang bapa, Mohd Sharil Ramzan Md Ali, 38, kecewa dengan mutu perkhidmatan seorang kakitangan di sebuah pusat kesihatan yang menyebabkan anaknya, Mohd Haziq, 7 terpaksa menanggung kesakitan hingga kini.

Mohd Sharil Ramzan menceritakan, lengan kiri Mohd Haziq yang patah sewaktu bermain di sekolah pada waktu rehat, telah direntap tanpa dibius terlebih dahulu oleh kakitangan terbabit

Menurutnya, kronologi kejadian itu bermula pada 21 Mac lalu apabila Mohd Haziq telah dikejarkan ke pusat kesihatan berkenaan untuk mendapatkan rawatan.

“Tambah mengecewakan apabila lengan kiri anak saya itu tidak plaster atau dibalut dengan sempurna menyebabkan kawasan patah itu membengkak sehingga dia terpaksa dibawa ke pusat kesihatan lain untuk rawatan semula.

“Kami kembali ke pusat kesihatan berkenaan pada 14 April lalu setelah mendapati balutan di lengan kiri anak saya terlalu ketat menyebabkan dia kesakitan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Batu 7, Jalan Baru, di sini.

Katanya ketika itulah lengan kiri anaknya direntap tanpa dibius oleh kakitangan terbabit dengan alasan untuk memasukkan semula bahagian tulang yang patah ke tempat asal kemudian dibalut kembali secara tidak kemas.

Mohd Shahrul Ramzan mendakwa, kejadian berkenaan telah menyebabkan Mohd Haziq terpaksa menanggung kesakitan berganda.

“Saya juga tidak puas hati setelah mendapati sambungan tulang yang patah tidak tepat melalui ujian imbasan sinar X (X-ray). Kesan daripada keadaan itu, tangan anak saya semakin membengkak.

“Serik dengan kejadian itu, saya membawa Mohd Haziq ke sebuah pusat rawatan lain untuk mengulangi ujian X-ray dan bersyukur kerana perkhidmatan di situ lebih baik,” katanya.

Tambahnya, sungguhpun terpaksa membayar kos RM906.20 di pusat kesihatan itu, dia tetap berpuas hati kerana cara rawatan yang berkesan.

“Saya harap pihak terbabit dalam bidang perubatan dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa ini dan dapat berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kebaikan pesakit, terutama golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close