Posmen Jumpa Peluru Hidup Untuk Ahli Perniagaan Ketika Asing Surat

Seorang posmen yang sedang mengasingkan surat terkejut apabila mendapati satu sampul surat mengandungi sebutir peluru hidup dan surat ugutan yang ditujukan kepada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk di negeri ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, posmen berusia 30-an itu melaporkan kejadian kepada majikannya sebelum satu laporan di buat di Balai Polis Pokok Sena, semalam.

Menurut sumber, posmen berkenaan yang sedang mengasingkan surat itu menemui sepucuk surat bersaiz 10 x 20 sentimeter yang ditujukan kepada seorang ahli perniagaan yang pernah dikaitkan dengan video seks yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam surat berkenaan mempunyai sebutir peluru hidup dan nota ugutan yang ditujukan kepadanya termasuk ahli keluarga beliau.

“Nota itu mengandungi mesej mengugut beliau dan keluarganya,” kata sumber itu di sini, semalam.

Beliau berkata, surat itu bagaimanapun tidak sempat dikirimkan posmen berkenaan selepas mendapati sampul surat itu dalam keadaan mencurigakan.

“Surat itu ditujukan kepada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Anwar.

“Difahamkan, posmen itu melaporkan kepada majikannya sebelum dia sendiri membuat laporan di balai polis berkenaan,” katanya.

Difahamkan, Datuk berkenaan yang tinggal di kawasan Naka di Daerah Padang Terap.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan.

Facebook Comments
Close