Petani Maut Selepas Dua Jam Dipatuk Ular

Seorang petani berusia 63 tahun maut setelah dipatuk ular ketika sedang berehat di luar rumahnya di Kampung Goncar, Gunung Keriang dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Saad Mansor yang dipercayai dipatuk ular berbisa di jari tangan kanan meninggal dunia di rumahnya selepas dua jam dipatuk ular yang tidak diketahui jenisnya.

Gambar hiasan

Anak sulung mangsa, Shahrulniza, 35, berkata ketika kejadian hanya adiknya Md Shahrizal, 30, dan ibunya Che Jam Ismail, 63, berada di rumah.

Katanya sebaik bapanya memaklumkan jari tangan kanannya dipatuk ular, adiknya segera membawanya untuk mendapat rawatan di sebuah klinik berhampiran rumah mereka.

“Pihak klinik mengesyorkan bapa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar namun bapa enggan pergi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Katanya bapanya kemudiannya pulang ke rumah dan meninggal dunia kira-kira 8.30 malam.

Jenazah Saad dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Lengkuas, Bukit Pinang dekat sini kira-kira 11 pagi ini. – Bernama

Facebook Comments
Close