Penduduk Gempar Air Sungai Bertukar Merah Seperti Darah

Penduduk daerah ini sekali lagi digemparkan dengan keadaan air Sungai Lipis yang bertukar warna kemerahan seperti bercampur darah selepas kejadian pertama berlaku akhir November tahun lalu.

Seorang penduduk di Kampung Batu Talam, Amirawa Merah, 41, berkata, aktiviti perlombongan bijih besi di kawasan pedalaman Ulu Sungai perlu pemantauan supaya pihak berkenaan tidak sewenangnya membuat pelepasan air takungan bercampur lumpur pekat.

Tebing sungai masih ada kesan lumpur walaupun air surut dan warna kembali normal

Menurutnya, perbuatan itu hanya mencemarkan pemandangan Sungai Lipis yang menjadi tarikan pe-lancongan di beberapa kawasan seperti Dataran Batu Malim sebagai tapak Pesta Air dan Jeram Besu.

“Jika dahulu, penduduk dapat mengesan perbuatan melepaskan air takungan berlumpur hanya dilakukan ketika hujan lebat atau semasa keadaan paras air sungai tinggi sahaja.

“Tetapi kali ini lebih kerap sehingga saban hari air Sungai Lipis menjadi keruh dan hari ini (semalam), keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.

Amirawa berkata, penduduk tidak selesa menghadapi keadaan seperti itu dan saban hari meluahkan kemarahan kerana perbuatan pengusaha lombong terbabit seperti tidak menghormati mereka.

Katanya, isu itu pernah mendapat perhatian umum selepas tersiar dalam akhbar akhir tahun lalu, tetapi pihak berkenaan seperti tidak malu langsung kepada masyarakat setempat.

“Aktiviti perlombongan itu bermula dari Bukit Batu Menangis dalam kawasan Ulu Sungai, manakala limpahan air berlumpur disalirkan ke anak Sungai Keta, dekat situ.

“Air akan mengalir terus ke Sungai Lipis yang akan disalurkan ke loji sebagai sumber air bersih kepada penduduk setempat,” katanya.

Dia berkata, kaki pancing juga tidak berpuas hati kerana langsung tidak dapat memancing ikan ketika air bertukar warna kemerahan.

Menurutnya, sekiranya penduduk mandi ketika air keruh, pakaian mereka akan kotor dengan warna keperangan dan pasti tidak dapat dipakai lagi.

“Kita harap pihak berkenaan menjalankan pemantauan secara serius kerana ia menjejaskan keselesaan penduduk setempat di samping mencemar imej daerah.

“Jarak Sungai Lipis lebih kurang 50 kilometer dan keadaan warna kemerahan ini tidak berubah daripada hulu sungai hingga ke kuala melepasi Sega, Kuala Atok, Jeram Besu serta Benta,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Jeram Besu pula berharap Kerajaan Negeri memantau dan mengkaji sebarang aktiviti dilakukan dalam hutan di Ulu Sungai sama ada benar-benar mengikut peraturan atau sebaliknya.

Timbalan Ketua Umno Cawangan Jeram Besu, Md Zin Salleh berkata, Sungai Lipis bukan sahaja menjadi sumber bekalan air kepada penduduk setempat, malahan ia terletak di tepi jalan utama Kuala Lumpur – Kota Bharu yang mudah dilihat pengunjung.

Menurutnya, masyarakat luar pasti memberi persepsi negatif apabila sungai itu bertukar warna kemerahan, manakala pinggirnya dipenuhi lumpur pekat.

“Masyarakat sudah mengetahui mengenai tarikan pelancongan di Pusat Rekreasi Sukan Air dekat Batu Malim dan kawasan untuk melaksanakan aktiviti lasak meredah jeram di Kampung Jeram Besu.

“Keadaan air sungai yang berubah warna menjadi keruh, berlumpur dan kemerahan ini memberi kesan buruk kepada persekitaran,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian penduduk terutama belia Kampung Jeram Besu menjana pendapatan sebagai pemandu pelancong yang memperkenalkan aktiviti lasak meredah jeram di sini.

Katanya, selama ini, pelancong asing turut menjalankan aktiviti di situ termasuk dari Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat, Tanah Arab dan beberapa negara lain.

“Kita terkilan kerana keadaan seperti ini berulang lagi hanya dalam tempoh enam bulan. Malah, kekeruhan air lebih teruk berbanding sebelum ini,” katanya.

Facebook Comments
Close