Pembantu Kedai Dakwa Terima RM10 Palsu

Orang ramai ­dinasihatkan supaya berhati-hati apabila menerima wang kertas sama ada semasa ber­urus niaga dengan peniaga atau individu kerana diper­cayai wang kertas palsu ­sedang disebarkan.

Seorang pembantu kedai, Mariam Halim, 24, berkata, sudah dua kali dia menerima wang kertas RM10 palsu pada hari yang berbeza.

Menurutnya, dia tidak menyedari perkara itu kerana sibuk bekerja, tambahan ciri-ciri pada wang palsu berkenaan hampir sama dengan wang kertas sebenar.

“Apabila pelanggan kurang, barulah saya mengira semua wang yang diterima dan pada ketika itu saya perasaan ada perbezaan pada wang kertas berkenaan.

“Selain saiz wang palsu kecil sedikit, gambar Yang di-Pertuan Agong juga tidak kelihatan jika dihalakan ke arah cahaya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mariam berkata, ciri-ciri lain yang menunjukkan wang kertas RM10 itu palsu ialah jalur keselamatan yang tidak memantulkan cahaya apabila dilihat di bawah cahaya lampu atau matahari.

Katanya, angka sifar juga menunjukkan perbezaan ketara jika diperhatikan dengan teliti.

“Saya bimbang, individu yang menyebarkan wang kertas ini didalangi pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

“Ini baru wang kertas bernilai RM10 dan mungkin ada wang kertas palsu yang bernilai lebih daripada itu. Keadaan ini bukan sahaja akan menyusahkan orang ramai tetapi merugikan mereka kerana ia tidak laku,” katanya.

Mariam berkata, mungkin ada penduduk di sini yang menerima wang palsu terbabit tetapi tidak menyedarinya.

Menurutnya, dia mendedahkan perkara itu kerana mahu orang ramai lebih berhati-hati supaya tidak ditipu pihak yang sengaja mencari keuntungan dengan cara mudah.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close