PAS & UMNO Tidak Akan Muzakarah | Abdul Hadi Awang

Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pas tidak akan mengadakan muzakarah dengan Umno sebagaimana dilaporkan oleh media sebelum ini, sebaliknya sedia berbincang dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sambil menjelaskan media telah salah petik kenyataannya awal minggu lalu, Presiden Pas berkata, pihaknya hanya berhasrat untuk mengadakan muzakarah dengan NGO yang keliru dengan dasar perjuangan parti itu.

“Sama sekali Pas tidak akan mengadakan muzakarah dengan Umno,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, muzakarah dengan Umno tidak akan diadakan sekalipun di ajak oleh Umno.

“Muzakarah sebelum ini saya maksudkan adalah perbincangan dengan beberapa NGO yang mempertikaikan dan menyatakan Pas menyeleweng dari dasar Islam yang dibawa. Dan bukan mahu bermuzakarah dengan Umno” katanya pada sidang media di sini semalam.

“Masa itu saya nyatakan perbincangan deng an NGO yang menuduh Pas menyeleweng dari dasar dan matlamat Islam.

“Perkataan muzakarah mungkin disebut pada masa itu tetapi muzakarah terjemahannya perbincangan, penjelasan tapi disalah tafsir Pas nak muzakarah dengan Umno. Itu tak timbul,” kata beliau.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Pas berkata, isu muzakarah merupakan isu lapuk yang ditimbulkan kembali menjelang pilihan raya.

“Isu muzakarah sudah lama dan acapkali dibentangkan kepada Umno dan Umno jadikan isu politik.

“Kalau nak bincang dengan Umno lebih baik bincang mengenai pilihan raya yang bersih,” tambah beliau, yang mengulangi kenyataan diberikan kepada Sinar Harian minggu lalu.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close