Murid Perempuan Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Bermain Di Takungan Air

Seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain dalam takungan air di bawah tiang elektrik di hadapan rumahnya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa Mariam Najwa Massari, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai itu sedang bermain dengan adiknya Muiz Asyraf, 3, di takungan air tersebut kira-kira 20 meter dari rumahnya sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

murid maut disambar elektrik

Bapa mangsa Massari Muhammad, 35, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu apabila dimaklumkan oleh jiran yang melihat anaknya terbaring di takungan air tersebut.

Katanya ketika kejadian dia berada dalam rumah manakala isterinya Norazlin Azmi, 32, membawa anak kelima mereka berjumpa doktor kerana tidak sihat.

Beliau berkata Muiz kemudiannya masuk ke rumah dan mengadu sakit kaki.

“Saya ingat Muiz digigit serangga lalu menyapu ubat di kakinya dan pada masa sama saya memanggil nama Mariam namun tidak bersahut,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, hari ini.

Massari berkata dia bergegas ke tempat kejadian apabila dimaklumkan jiran tentang keadaan anak keempatnya daripada enam beradik itu dan cuba mengangkatnya namun tidak berdaya disebabkan aliran arus elektrik yang turut dirasainya.

Beliau berkata setelah berjaya mengangkat Mariam keluar dari takungan air tersebut, dia membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Bukit Rambai untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Tukang masak di sebuah hotel di bandar raya ini turut melahirkan rasa kesal atas kejadian yang menimpa anaknya itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika punca kematian akibat renjatan elektrik yang terhasil daripada tiang elektrik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- Bernama

Facebook Comments
Close