Menjelang Final Piala FA | Ultras Kelantan Sedia Wau Bulan Gergasi

Demi membuktikan semangat dan sokongan padu mereka terhadap pasukan The Red Warriors, sekumpulan 30 belia di sini sanggup berkampung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV bagi menyiapkan wau bulan gergasi yang akan dipasang di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menamakan mereka Ultras Kelantan The Red Mania, kumpulan yang dianggotai kira-kira 200 penyokong dan peminat The Red Warriors itu sanggup mengorbankan sebahagian kegiatan harian mereka demi memberi komitmen kepada misi tersebut.

Capo Ultras Kelantan, Besry Ahmad berkata, semalam merupakan hari keenam mereka berkampung di pekarangan stadium itu bagi menyiapkan keperluan untuk dibawa ke perlawanan akhir bola sepak Piala FA di Stadium Bukit Jalil.

“Antara yang berjaya disiapkan termasuk banner 10 muka pemain dan jurulatih The Red Warriors dan kini kami sedang bertungkus lumus menyiapkan wau bulan gergasi kira-kira 10 x 10 kaki,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, kira-kira RM1,500 diperuntukkan hasil sumbangan ahli dan individu untuk menyediakan keperluan tersebut yang dijangka siap sepenuhnya 17 Mei ini.

Besry berkata, setiap kali The Red Warriors mempunyai perlawanan sama ada di dalam dan luar negeri, pihaknya akan menyediakan keperluan- keperluan seperti ini namun kali ini lebih besar.

“Kami pernah menyiapkan bendera seperti ini semasa Piala Sumbangsih, namun dirampas pihak berkuasa, apa yang dihasilkan ini sebagai gantinya,” katanya.

Menyifatkan kumpulan mereka sebagai pemain ke 12 The Red Warriors, Besry berkata, pihaknya akan mengikuti setiap perlawanan pasukan bola sepak itu walaupun diadakan di luar negeri ini.

Ultras merupakan kumpulan dan penyokong setia akan menyanyi dan bersorak sepanjang 90 minit perlawanan sebagai menzahirkan semangat kepada pemain di atas padang.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close