Mekanik Dibelasah Ketika Curi Besi

Malang berganda! Hasrat seorang mekanik untuk merembat dua batang besi penyelak kayu balak tidak kesampaian apabila perbuatan terkutuk itu telah disedari pemiliknya dalam satu kejadian di tepi jalan Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, bapa kepada tiga anak itu, Adam Mohmad, 33, juga teruk dibelasah semasa sedang sibuk mengangkat besi-besi tersebut untuk dimasukkan ke dalam Perodua Kenari dipercayai miliknya.

Lebih malang, Adam yang berasal dari Kampung Parit Che Ha, Manir, turut dijatuhi huku-man denda sebanyak RM2,500 atau dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhi Majistret Noradila Ab Latif selepas tertuduh mengaku salah mencuri dua batang besi penyelak balak yang bernilai RM300 di atas lori milik Mohd Fadzil Sulong, 43, di tepi jalan Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, kira-kira jam 4 pagi, kelmarin.

Dengan itu, tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara shingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Ratna manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Hayyatuddin Mohamad.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori sedang tidur di dalam lorinya di lokasi kejadian. Tiba-tiba dia terjaga dan ternampak tertuduh sedang mengangkat besi peralatan kerja dalam lorinya ke sebuah kereta jenis Perodua Kenari.

Terkejut melihat situasi itu, mangsa terus bangun dan cuba mengejar tertuduh bersama seorang lagi rakannya, namun sejurus mengetahui aktivitinya disedari, tertuduh terus melarikan diri.

Bagaimanapun, mangsa dan rakannya itu berjaya menangkap tertuduh dan berlakulah sedikit pergelutan. Dalam pergelutan itu, tertuduh telah mengalami kecederaan di lengan, calar di muka dan sakit di badan.

Selepas itu, tertuduh dibawa ke Balai Polis Batu Rakit untuk tindakan selanjutnya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close