Lori Minyak Terbalik | Hampir Rempu Sebuah Rumah

“Biarpun lutut seolah-olah lembik kerana terlalu berdebar, makcik kumpul kekuatan berlari dapatkan cicit dalam buaian di bahagian ruang tamu untuk selamatkan diri.

“Apabila berada di beranda, didapati seluruh kawasan rumah dipenuhi minyak,” cerita Minah Che Idris, 60.

Minah menceritakan detik cemas kejadian sebuah lori minyak sawit yang penuh muatan hampir merempuh rumahnya semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi di Kilometer 15 Jalan Gaung-Teris (Kampung Tengkawang) itu, rumahnya bukan sahaja hampir dirempuh lori minyak sawit itu, tetapi halaman kira-kira empat rumah lain turut digenangi 40 tan minyak sawit mentah.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu Jesni Husin, 43, bersama kelindan, dikenali sebagai Hashimi, 23, dalam perjalanan dari Chiku, Gua Musang ke Kuantan, secara tiba-tiba hilang kawalan sebaik melalui satu selekoh tajam.

Ia menyebabkan kenderaan itu terbalik dan terseret hampir 50 meter sebelum merempuh pokok.

Menurut Minah, perasaannya bertambah cemas kerana menyangka takungan minyak memenuhi segenap pekarangan rumahnya itu merupakan petrol, namun setelah diamati, barulah dia mampu menarik nafas lega kerana itu adalah minyak sawit mentah.

“Sebelum kejadian, makcik berada di dapur dan sudah jangka berlaku kemalangan di selekoh berhampiran hadapan rumah setelah terdengar bunyi dentuman kuat.

“Dengan perasaan berdebar dan ketakutan, makcik berlari mendapatkan cicit, Nur Auni Azrudi, 9 bulan,” katanya.

Menurutnya, hanya ketika berada di beranda rumah, baru dia dapat agak kemalangan itu melibatkan lori minyak kerana melihat seluruh kawasan telah dipenuhi minyak.

Keadaan bagaikan banjir kilat

“Keadaan bagaikan banjir kilat. Setelah kira-kira 20 minit, baru perasaan cemas reda, lalu makcik kembali ke ruang tamu untuk melihat keadaan.

“Syukur tak terhingga lori minyak itu hanya terkena pokok mempelam terletak dekat ruang tamu. Jika ia rempuh rumah, makcik tak tahu bagaimana nasib kami terutamanya cicit makcik ini,” katanya.

Menurutnya, sudah beberapa kali dia dan suami, Aminnudin Hamzah, 72, berhasrat menebang pokok itu, tetapi melengah-lengahkannya.

“Syukurlah, rupanya ada hikmah di sebaliknya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Minah berkata, jika tiada pokok berkenaan sudah pasti kejadian lebih buruk berlaku kerana insiden sama pernah terjadi 2005 lalu, membabitkan sebuah trak tentera.

Guru rugi RM8,000

SEMENTARA itu, guru, Fajirah Abdullah, 37, berkata, kemalangan itu turut menyebabkan dia kerugian kira-kira RM8,000 apabila kedai telefon terletak hadapan rumahnya ranap.

Malah hatinya bertambah sayu memandangkan ia berlaku pada sambutan Hari Guru.

“Kedai ini belum beroperasi sejak dirempuh kereta dalam kemalangan 18 Februari tahun lalu hingga berlakunya kerosakan dinding.

“Malah, duit pampasan juga belum diterima sehingga kini dan tak sangka kemalangan hari ini (semalam) menyebabkannya ranap,” katanya.

Bagi seorang warga emas yang kawasan rumahnya turut digenangi minyak, Mariam Aris, 64, dia mengumpamakan kejadian itu tidak ubah seperti banjir kilat dan berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah sewajarnya.

Menurutnya, jika tiada tindakan awal, minyak yang bertakung di pekarangan rumah itu bukan sahaja menyukarkan pergerakan penduduk terlibat, tetapi juga mengundang risiko kerosakan terhadap pelbagai tanaman di kawasan itu.

Pemandu keluar ikut cermin belakang

SEMENTARA itu, pemandu lori, Jesni berkata, kejadian berlaku sekelip mata dan secara tiba-tiba kenderaan dipandunya terbalik ke sebelah kiri sebaik melalui satu selekoh, lalu terseret hingga merempuh pokok mempelam.

Menurutnya, akibat kejadian itu, dia terpaksa keluar ikut cermin belakang untuk menyelamatkan diri dan kemudian membantu kelindan yang ketika itu tersepit di tempat duduk, sebelum mereka mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Tengkawang.

“Jika dilihat pada keadaan kepala lori, mungkin ramai tidak menyangka kami berdua terselamat dan hanya luka kecil. Namun, syukur umur kami masih dipanjangkan-Nya.

“Sebaik melalui satu selekoh, tayar sebelah kanan terangkat dan tiba-tiba kenderaan yang dipandu terbalik. Sepanjang hampir 18 tahun memandu lori minyak ini, kejadian sebegini adalah yang pertama dihadapi kerana biasanya ia hanya terbabas.

“Bagaimanapun, ia tidak lemahkan semangat saya untuk terus mencari rezeki, dan menganggap keadaan ini adalah sebahagian daripada asam garam yang akan dihadapi pemandu kenderaan berat terutamanya lori,” katanya.

Menurutnya, setengah jam sebelum kejadian iaitu kira-kira jam 9 pagi, dia sempat singgah minum pagi di sebuah kedai kopi di kampung mentuanya, di Kampung Teris dan tidak menyangka, belum begitu jauh perjalanannya diteruskan, dia terlibat dengan nahas itu.

Facebook Comments
Close