Lelaki Warga China Ditemui Lemas Di Pulau Redang

Seorang lelaki warga China ditemui lemas ketika mandi di Taman Laut Pulau Redang, di sini, kira-kira jam 10.05 pagi, kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa, Ting Ding Yong Hui, 48, bersama empat ahli keluarga lain termasuk isteri dan anaknya sedang mandi di kawasan tersebut, sebelum insiden itu meragut kegembiraan mereka sekeluarga.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa dikatakan turun mandi bersama keluarganya sebelum salah seorang anak mangsa dikatakan naik ke pantai seketika.

“Sewaktu anak mangsa ingin menyertai kembali keluarganya untuk mandi bersama, dia ternampak orang ramai sedang mengangkat seseorang dan kemudian menghampiri kumpulan tersebut. “Sebaik menghampiri, dia terkejut mendapati orang yang diselamatkan itu adalah bapanya dan bergegas memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga lain,” katanya.

Mangsa dikejarkan ke Klinik Desa Pulau Redang sebelum disahkan meninggal dunia.

Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat.

Difahamkan, keluarga berkenaan tiba di pulau itu Rabu lalu untuk bercuti.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zamri Shamsuddin, mengesahkan kejadian itu.

Facebook Comments
Close