Lelaki Malang Disamun & Dibogelkan

Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dipukul dan diikat pada tiang elektrik di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Mangsa diikat dengan tali pinggang yang dipakainya dipercayai oleh tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna biru.

Bukan itu sahaja lelaki malang ini turut dibogelkan sementara pakaian bertaburan tidak jauh dari tempat mangsa diikat.

Sementara itu, penduduk dikenali Ripin, 48, yang dalam perjalanan ke kebun getah di Gual Pasong Hantu, terkejut melihat sebuah motosikal tanpa pemiliknya berhampiran jambatan.

Ripin berkata, hanya beberapa meter dari situ dia dapat melihat kelibat manusia berhampiran balai bomba.

Menurutnya dia dan isteri tidak berani untuk menghampiri mangsa kerana bimbangkan keselamatan mereka.

“Saya dan isteri terus ke pejabat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan memaklumkan perkara itu kepada anggota bertugas.

“Selepas itulah kami melihat dari jauh mangsa diikat pada tiang dan tidak berpakaian,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang cedera pada bahagian muka dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk mendapatkan rawatan.

Sinar Harian difahamkan beg duit mangsa tanpa wang tunai dan pengenalan diri turut ditemui tidak jauh dari tempat mangsa ditemui.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Haliludin Rahim memberitahu, pihaknya masih menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close