Lelaki Didakwa Curi Pelbagai Sabun

Seorang lelaki yang baru bergelar bapa tunggal selepas kematian isteri bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dakwaan mencuri pelbagai jenis sabun mandi di sebuah kedai di bandar raya di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Yusof A Rahman, 38, dari Kampung Gong Penaga, Pasir Panjang, di sini, mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Mohd Yusof mengaku tidak bersalah mencuri enam botol sabun mandi bernilai RM43.20 di Kedai My Mart di Pasar raya Mydin Mall, di sini, kira-kira jam 5.05 petang, kelmarin.

Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Noradila menetapkan 26 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pada masa sama, mahkamah turut membenarkan Mohd Yusof diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin.

Facebook Comments
Close