KFC Pokkits Dari Malaysia | Yang Pertama Di Asia

FC Holdings (Malaysia) Bhd optimis produk terbarunya, Pokkits menyumbang enam peratus terhadap jualan keseluruhan dalam tempoh tiga bulan akan datang serentak dengan pelancaran­nya semalam.

Timbalan Presiden KFC Semenanjung Malaysia, Alan Au berkata, pihaknya sentiasa agresif memperkenal dan menambah produk baru kerana persaingan pasaran terutamanya dalam industri makanan sangat tinggi.

“Bagi perniagaan yang berasaskan makanan, perlulah sentiasa ada sesuatu yang baru dan menarik untuk ditawarkan kepada pengguna. Selain itu, KFC juga akan terus menyusun strategi bagi meningkatkan jualan.

“Untuk permulaan, Pokkits akan berada di pasaran selama tiga bulan. Tetapi jika sambutan diterima menggalakkan, ia akan dikekalkan menjadi menu tetap dalam pilihan menu sedia ada KFC,” katanya selepas majlis pelancarannya, di Kuala Lumpur.

Menurut Alan, KFC Pokkits adalah produk pertama yang dilancarkan untuk tahun ini. Malah, pelancaran ini juga menyaksikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia yang melancarkan menu baru tersebut.

Sesuai dengan cogan kata ‘Gigitan terakhirnya memang layan’, Pokkits dipenuhi dengan keju Monterey Jack, keju Cheddar, ketulan filet Zinger dan disalut dengan sos chutni nenas mangga, serta dibalut rapi dengan kon roti pita.

Bermula 17 Mei lalu, KFC Pokkits boleh didapati pada harga promosi RM2.60 secara ala carte sehingga 27 Mei akan datang. Ia juga boleh didapati dalam bentuk kombo bersama minuman ringan bersaiz sederhana pada harga RM5.50.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close