Kanak-kanak 10 Tahun Dipatuk Ular

Seorang ibu yang sedang menjahit manik di ruang tamu rumahnya di Banggol Kekabu malam kelmarin, dikejutkan dengan jeritan serta tangisan anak bongsunya akibat dipatuk ular.

Norbaiti Che Mah, 43, berkata, jeritan itu mengejutkannya memandangkan mangsa, Nurul Faizah Yusri, 10, agak lasak dan sukar menangis biarpun kerap ditimpa kemalangan.

Menurutnya, sebaik mendengar tangisan anak bongsu daripada tujuh beradik itu, dia segera mendapatkan anaknya dan melihat mangsa sedang menahan kesakitan sambil menunjukkan kaki kanannya dipatuk.

“Saya mengangkat anak masuk rumah sambil menenteramkannya dan memberitahu suami membawanya ke klinik.

“Setelah ke klinik, kami diminta membawa Nurul Faizah ke Hospital Daerah Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Norbaiti berkata, dia dan keluarga kerap terserempak pelbagai jenis ular berhampiran rumah memandangkan sekitarnya dipenuhi semak.

Menurutnya, rumahnya terletak di antara kawasan kebun getah menyebabkan mereka terdedah bahaya haiwan berbisa itu.

“Ini merupakan kejadian pertama anak dipatuk ular dan bersyukur dia selamat,”katanya.

Sementara itu, mangsa berkata, dia dan dua kakaknya pergi ke rumah neneknya yang terletak bersebelahan rumah ibunya kira-kira jam 9.15 malam.

Menurutnya keadaan di tangga rumah neneknya agak gelap dan tidak menjangka akan dipatuk haiwan berbisa itu.

“Selepas berjalan ke rumah nenek, saya terasa kaki sakit seperti digigit dan menjerit kerana tidak dapat menahan kesakitan,” kata murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Lubok Setol ini.

Berikutan kejadian, mangsa mendapatkan rawatan di klinik swasta di Rantau Panjang sebelum dirawat di Wad kecemasan Hospital Daerah Pasir Mas dan dibenarkan pulang, pagi semalam

Facebook Comments

Comments are closed.

Close