Jengkaut Terjunam Ke Sungai Akibat Tidak Tahu Jambatan Tutup

Seorang pemandu jengkaut nyaris mati lemas apabila dia terjunam ke dalam sungai bersama jentera yang dipandunya awal pagi kelmarin.

Mohd Mustakim Mustapha, 24, dari Panji berkata, dia tidak tahu laluan jambatan itu ditutup sejak akhir tahun lepas ketika musim banjir Disember lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan menuju ke Kampung Keluat untuk membantu jentera mesin padi yang terperangkap dalam sawah akibat kerosakan gear.

“Saya tidak tahu jambatan ini ditutup kerana tiada sebarang papan tanda diletakkan sebagai amaran untuk pengguna, lagipun saya bukan penduduk kawasan ini.

“Ketika kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, saya dalam perjalanan dari Pasir Puteh untuk ke Kampung Keluat dan apabila tiba di pertengahan jambatan, jengkaut saya mula senget ke kanan dan terus terjunam ke dalam sungai. “Alhamdulillah, saya tidak panik atau tersangkut di dasar sungai dan berenang naik ke permukaan air untuk meminta bantuan,” katanya.

Sejurus kejadian itu, Mohd Mustakim terus menghubungi ketuanya di Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan bagi memaklumkan kejadian dan meminta bantuan.

Pihak Bomba Dan Penyelamat Daerah Bachok juga dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada keesokan harinya.

Beliau berkata, musim cuaca yang tidak menentu menyebabkan jadual waktu kerjanya tidak menentu untuk memastikan proses tanaman padi berjalan mengikut jadual.

“Saya memang bekerja tidak mengikut waktu tetapi mengikut keperluan tugasan yang diberikan sementelah dalam cuaca tidak menentu begini. “Saya tidak menyangka perkara ini akan berlaku sepanjang empat tahun bekerja sebagai pemandu jengkaut,” katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu pihak Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan berdepan kerugian kira-kira RM260,000 apabila jengkaut yang terjunam ke dalam sungai itu rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

Difahamkan, jambatan Pengkalan Pak Ali itu ditutup oleh pihak polis dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya sejak Disember tahun lalu, apabila beberapa tiang penyokong di dasar sungai dihanyutkan arus deras ketika musim tengkujuh.

Papan amaran sebenarnya sudah diletakkan di jalan masuk ke kampung tersebut oleh pihak berkenaan dan di jambatan, tetapi tinjauan Sinar Harian mendapati ia sudah ‘hilang’.

Facebook Comments
Close