Jangan Terlalu Sensasikan Nazmi Faiz | Ong Kim Swee

PENGENDALI skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee meminta media di negara ini tidak terlalu mensensasikan kejayaan Nazmi Faiz Mansor mengikat kontrak bersama SC Beira-Mar yang beraksi dalam saingan Liga Premeira, Portugal.

Katanya, ia bagi mengelakkan tumpuan pemain itu terjejas pada misi kelayakan Piala Asia B-22 yang akan bermula 23 Jun hingga 3 Julai nanti.

“Bukan bermaksud saya tidak mahu berkongsi kegembiraan tersebut, tetapi alangkah baik jika kegembi­raan itu dapat digandakan apabila kita berjaya melepasi pusingan kelayakan pada pertengahan bulan depan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di Slovakia, semalam.

Dalam pada itu, Kim Swee memaklumkan, ujian pemilihan membabitkan Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dengan kelab Divisyen 3 Jepun, FC Ryukyu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

Katanya, tempoh ini bukan masa yang sesuai untuk membicarakan soal kontrak mahupun perjanjian dengan kelab luar negara.

“Kami akan menyambung semula perbincangan selepas sesi kelayakan dan saya juga akan turut mengumumkan beberapa lagi nama pemain yang mungkin akan menjalani sesi ujian pemilihan bersama beberapa kelab di benua Eropah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Harimau Muda bakal memulakan siri perlawanan persahabatan menentang kelab Hungary, Ferencvaros hari ini.

Namun, Kim Swee memberitahu skuadnya terpaksa beraksi tanpa khidmat pertahanan, Mohd Amer Saidin yang tercedera ketika sesi latihan.

“Ketiadaanya tidak menjejaskan pasukan. Esok (hari ini) saya akan turunkan Shahrul Saad dan Mohd Syazwan Tajuddin yang jarang beraksi.

“Saya mahu beri mereka peluang menimba pengalaman serta merasai situasi beraksi menentang pasukan luar negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close