Ikhlas & wargaAMAN Batal Protes Depan Rumah

Anggota kumpulan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) membatalkan hasrat untuk mengadakan protes di luar rumah Datuk S. Ambiga Sreenivasan di Bukit Damansara di sini pada 24 Mei ini.

Satu lagi kumpulan yang menggelar diri sebagai WargaAMAN, turut membatalkan hasrat membuka gerai thosai dan mengadakan demonstrasi membuat thosai di hadapan rumah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada Ahad ini.

Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ‘protes burger’ itu dibatalkan setelah pihaknya berpendapat berjaya ‘mengajar’ Ambiga yang mengetuai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April.

“Sehubungan itu, tidak akan ada satu lagi protes susulan. Kami tidak akan buka gerai di hadapan rumah Ambiga,” katanya.

Pada 10 Mei lalu, beberapa ahli Ikhlas mengadakan ‘protes burger’ dengan mengedarkan burger daging percuma kepada orang ramai di luar rumah Ambiga setelah mendakwa mengalami kerugian pendapatan berjumlah RM200,000 berikutan perhimpunan Bersih 3.0.

Pengerusi WargaAMAN, A. Rajaretinam ketika dihubungi Bernama berkata: “Ya, kami akan batalkan setelah mengambil kira pandangan Ambiga dan beberapa pemimpin politik supaya tidak berbuat demikian.”

— Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close