Ibu Tunggal Panjat Asrama Curi wayar

Seorang ibu tunggal sanggup memanjat tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar di sini, untuk mencuri wayar tembaga di bangunan itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, suspek berusia 32 tahun nekad melakukan kerja memotong wayar berkenaan seorang diri walaupun dalam keadaan persekitaran yang gelap.

Gambar hiasan

Difahamkan, suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah bertindak demikian kerana terdesak mendapatkan wang bagi membolehkannya membeli pil kuda yang menjadi ‘makanan’ hariannya setiap hari.

Bagaimanapun, hasrat wanita itu gagal apabila pengawal keselamatan sekolah terbabit menahannya ketika dia mengangkat wayar yang sudah dipotong untuk dibawa keluar dari bangunan berkenaan.

Dia kemudian diserahkan kepada anggota polis peronda yang kebetulan melintasi tempat kejadian sebelum dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu bagi tindakan susulan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita berkenaan yang mempunyai seorang anak itu.

“Suspek direman empat hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close