Ibu Dera Anak Dengan Cara Gigitan seluruh Badan

Dua beradik berusia tiga dan dua tahun menempuh pengalaman ngeri apabila disyaki didera ibu di Langkap, Teluk Intan, minggu lalu.

Ibu berusia 25 tahun itu menggigit perut seorang anaknya hingga lebam di badan.

Untuk melindungi kesan lebam itu, dia pakaikan baju berlengan dan seluar panjang.

Penderitaan kedua-dua kanak-kanak malang itu terbongkar apabila bapa mangsa yang berusia 49 tahun, membawa anak bongsu ke klinik meskipun dihalang isterinya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kei, yang melawat kanak-kanak itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam berkata, kecederaan yang dialami kanak-kanak itu lebih serius daripada abangnya.

“Badan mangsa ada kesan lebam lama dan baru,” katanya.

Kanak-kanak itu mengalami fobia, seolah-olah takut didekati.

Katanya, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan beri kaunseling kepada kedua-dua beradik itu bagi mengurangkan perasaan takut.

“Kita juga bercadang beri penempatan selamat,” katanya.

Seai Kei berkata, dalam tempoh tujuh tahun, terdapat 1,624 kes dera di negara ini.

Dari jumlah itu, 357 membabitkan bapa kandung dan 300 kes ibu kandung manakala kes libatkan bapa dan ibu tiri adalah 167.

“Di Perak, ini merupakan kes pertama tahun ini, Selangor masih teratas dengan statistik dengan 19 kes setakat Mei 2012,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, polis menahan ibu bapa mangsa sebaik laporan diterima, 20 Mei lalu untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan yang dibuat, polis menyifatkan kes itu sebagai dera dan motifnya masih dalam siasatan.

“Ibu dan bapa mangsa masih dalam tahanan reman sehingga hari ini,” katanya.

Difahamkan, laporan dibuat ahli keluarga mangsa selepas melihat kesan lebam.

Facebook Comments
Close