Hukuman Curi 7 Dulang | Tukang Masak Dipenjara Sehari

Seorang tukang masak dihukum penjara sehari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri tujuh dulang dan satu pasu hiasan daripada sebuah pusat hiburan semuanya bernilai RM680, minggu lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir turut mengarahkan tertuduh, K Surendran, 38, menjalani hukuman penjara lima hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap tuduhan dihadapinya.

Berdasarkan pertuduhan, Surendran didakwa mencuri tujuh dulang makanan jenis tahan karat bernilai RM280 dan satu pasu hiasan (RM400) milik Bankers Club di pusat hiburan itu beralamat tingkat 21 dan 22, Bangunan Amoda, Jalan Imbi, di sini, pada jam 10.15 malam, 2 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya berkata, dia melakukan perbuatan terbabit atas alasan tidak mempunyai pekerjaan dan terpaksa mencari duit dengan menjual barangan yang dicurinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close