Hampir 15 Minit Bertarung Nyawa Dari Buaya

Seorang lelaki menempuh detik menakutkan apabila terpaksa mengerah kudrat bertarung dengan seekor buaya selama 15 minit ketika mandi di Sungai Batang Sadong, dekat Gedong, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 9 pagi itu, mangsa, Ngundi anak Saga, 43, dari Kampung Spaoh Jawey, Gedong ke sungai itu yang terletak 50 meter dari rumahnya.

Gambar hiasan

Kakaknya, Burai, 47, berkata, adiknya yang mengalami masalah penyakit mental tidak menyedari bahawa terdapat seekor buaya ketika mandi.

“Buaya sepanjang lima meter itu dikatakan menyambar kaki Ngundi menyebabkan berlaku pergelutan antara adik saya dengan haiwan itu sebelum dia menyepak kepala buaya itu untuk melepaskan diri.

“Dia turut menumbuk mata buaya sebelum reptilia itu melepaskan gigitan dan menghilangkan diri. Adik segera pulang ke rumah dengan luka di kaki kirinya.

“Kami sekeluarga terkejut melihat keadaan Ngundi dengan kaki kirinya dipenuhi darah sebelum dimaklumkan akibat digigit buaya.

“Kami melihat ada tiga lubang dipercayai kesan gigitan. Dia kemudian dibawa ahli keluarga ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kecederaan dialami serius, adiknya dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.

“Saya sering mengingatkan Ngundi supaya tidak mandi di situ tapi dia degil. Memang sungai itu menjadi tumpuan penduduk terutama untuk memancing, tapi mereka dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.

Burai sekeluarga dimaklumkan keadaan Ngundi dilaporkan stabil selain bersyukur kerana kejadian itu tidak meragut nyawa adik lelakinya itu.

Facebook Comments
Close