Gerhana Matahari Cincin Dijangka Ahad Ini | 20 Mei 2012

Gerhana matahari Anulus atau gerhana matahari cincin dijangka berlaku Ahad ini (waktu tempatan di Hemisfera Timur) dengan magnitud 0.9439.

Namun sebahagian daripada gerhana matahari itu hanya boleh disaksikan di Sabah dan Sarawak.

Menurut Portal Pendidikan Sains Angkasa, gerhana itu juga dapat dilihat di Brunei dan sebahagiannya di Indonesia secara separa.

Malaysia tidak dapat melihat keseluruhan fasa gerhana separa itu kerana ia dijadual berlaku ketika matahari terbit pada 21 Mei.

Gerhana matahari berlaku apabila bulan melintasi antara bumi dan matahari, serta melindungi secara keseluruhan atau sebahagian imej matahari daripada pencerap yang berada di bumi.

Gerhana matahari Anulus berlaku apabila diameter ketara seperti bulan lebih kecil daripada cakera matahari menyebabkan matahari kelihatan seperti anulus (cincin) dan menyekat kebanyakan daripada cahaya matahari.

Menurut portal itu, fasa anulus akan dapat dilihat dari kawasan pantai China, utara Taiwan, selatan Jepun dan bahagian barat Amerika Syarikat serta Kanada.

Guangzhou, Taipei, Tokyo dan Albuquerque berada di laluan pusat.

Gerhana maksimum akan berlaku di Pasifik Utara, Kepulauan Aleutian selatan bagi tempoh lima minit dan 46.3 saat. Ia akan tamat di bahagian barat Amerika Syarikat.

Portal itu juga menyatakan satu gerhana anulus mungkin kelihatan seperti gerhana matahari separa di sebuah rantau yang jaraknya beribu-ribu kilometer.

Orang ramai yang mahu melihat gerhana matahari itu boleh merujuk

http://eclipse.gsfc.nasa.gov/SEgoogle/SEgoogle2001/SE2012May20Agoogle.html

– BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close