Geng Langgar & Samun Tersalah Pilih Mangsa

Akibat tersalah pilih mangsa, seorang anggota Geng Bampar akhirnya ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Taming Jaya di sini, selepas suspek melanggar kereta seorang anggota polis hingga cedera di Taman Seri Timah, Balakong, kira-kira jam 3.15 petang kelmarin.

Suspek yang berusia 24 tahun, dikatakan mencari mangsa yang terdiri daripada pemilik kereta mewah sebelum melanggar belakang kereta (bampar) dan menyamun menggunakan parang serta membawa lari kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan dua lagi rakan suspek berusia 20 dan 24 tahun setengah jam kemudian di hadapan Kondominium Juta Mines, Balakong.

“Polis menemui sebuah beg sandang, serangkai anak kunci kereta dan merampas empat kereta jenis Isuzu, Proton Persona, Honda Civic dan Honda Accord yang dipercayai turut menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Beliau berkata, dengan penahanan tiga lelaki itu, polis percaya dapat menyelesaikan lima kes curi kereta mewah di sekitar Kajang dan beberapa daerah lain.

“Polis masih memburu saki baki anggota geng terbabit dan mengesan kereta mewah yang disamun. Siasatan awal mendapati kumpulan ini sudah bergiat aktif sejak Januari 2011. “Seorang daripada suspek yang ditahan ini juga baru dibebaskan daripada perintah sekatan buang daerah (PCO),” katanya.

Katanya, sebuah kereta mewah yang dirampas ditemui di tempat letak kereta Kompleks Sukan Bukit Jalil dan semua nilai rampasan dianggarkan bernilai RM400,000.

Katanya, semua suspek ditahan reman sehingga Jumaat depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 kerana samun berkumpulan bersenjata dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close