Final Piala Thomas | China Juara Piala Thomas Kali Ke-9

JUARA bertahan, China mengekalkan kejuaraan Piala Thomas buat kali kesembilan apabila mudah menewaskan Korea Selatan 3-0 pada aksi final di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, hari ini.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu pada edisi 2006 di Jakarta dengan China menang 3-1.

Kejayaan ini sekali gus membuktikan negara Tembok Besar itu sukar digugat oleh pasukan lain.

China selaku pilihan utama pada edisi kali ini, mencapai mata kemenangan pertama menerusi pemain perseorangan mereka, Lin Dan yang menewaskan Lee Hyun Il dengan catatan 21-14 dan 20-17.

Selepas kejayaan Lin Dan itu, gandingan beregu utama China, Cai Yun/Fu Haifeng tidak memberi peluang kepada gandingan Korea Selatan, Lee Yong Dee/Kim Sa Rang di set pertama apabila mudah mencatat kemenangan 21-17.

Bagaimanapun, dalam set kedua, beregu pilihan pertama kejohanan itu nyata perlu bekerja keras untuk mengutip mata kedua sebelum menamatkan permainan 25-23 dalam masa 53 minit.

Sementara itu, turun selaku pemain harapan dalam mencipta kemenangan, Chen Long nyata tidak mengecewakan apabila mudah memastikan Piala Thomas kali ini sah menjadi milik China selepas menewaskan Shon Wan Ho, 21-9 dan 21-13

Sebelum ini, China memenangi trofi tersebut sebanyak empat kali berturut-turut dari 2004 hingga 2010.

Kemenangan pasukan China kali ini turut bertambah manis apabila skuad wanita mereka turut berjaya membawa pulang Piala Uber setelah menang 3-0 kepada Korea Selatan, kelmarin.

Keputusan penuh perlawanan akhir Piala Thomas 2012

China (3) Korea Selatan (0)

Lin Dan mln Lee Hyun Il 21-14, 21-17

Cai Yun/Fu Haifeng mln Lee Yong Dee/Kim Sa Rang 21-16, 25-23

Chen Long mln Shon Wan Ho

Facebook Comments
Close