Farmasi Tipu Diserbu Penguatkuasa

Lakonan seorang lelaki kononnya ‘pakar’ dalam bidang perubatan dan farmasi terbongkar apabila kegiatannya berjaya dihidu Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan cawangan Perak, di sini, semalam.

Dalam insiden itu, lelaki warga tempatan berusia 42 tahun itu, mendakwa dirinya mempunyai kelayakan sah menjalankan operasi menjual ubat di sebuah premis perubatan di Tanjung Malim.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dibongkar selepas beberapa pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa Farmasi Cawangan Perak melakukan penyamaran sebelum berpura-pura masuk ke premis berkenaan untuk membeli ubat-ubatan.

Sinar Harian dimaklumkan, dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki berkenaan gagal menunjukkan bukti kelayakan sebagai ahli farmasi bertauliah dan memberi alasan kononnya MyKad serta lesen memandunya hilang.

Panik dengan situasi itu, lelaki itu memberitahu bahawa premis berkenaan milik adiknya yang didakwa menyerahkan tugas menjaga kedai berkenaan kepadanya.

Ketua cawangan Penguat kuasa Farmasi Perak, Ahmad Nozrin Taharin berkata, kes penyamaran seumpama itu serius berdasarkan peranan ahli farmasi yang bertanggungjawab melindungi pesakit daripada ubat merbahaya, iklan ubat memperdaya dan amalan perubatan yang salah.

Menurutnya, golongan farmasi perlu mempunyai kelayakan akademik iaitu Ijazah Sarjana Muda Farmasi sebelum boleh mengurus kedai ubat atau farmasi.

“Kita akan rujuk kes ini kepada Lembaga Farmasi Kementerian untuk tindakan lanjut.

“Sepatutnya ahli farmasi memastikan ubat diberikan kepada pesakit dan orang ramai selamat, berkesan dan berkualiti serta memberi maklumat seperti kebaikan dan kesan sampingannya,” katanya.

Bahagian Penguatkuasaan Farmasi turut bertindak merampas sejumlah ubat antibiotik, ubat selsema dan pelbagai ubat-ubatan tidak berdaftar yang ditemui di dalam premis berkenaan.

Lelaki itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Racun 1952 kerana menjual ubat-ubatan tanpa kelayakan dan tidak mempunyai permit lesen sah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close