Diculik & Dipaksa Keluar Wang RM12000 Oleh Penyamar Anggota Polis

Seorang pemandu lori menempuh detik mencemaskan apabila diculik tiga lelaki yang menyamar polis di Kampung Baru, di sini, sebelum dipaksa mengeluarkan wang RM12,000 dari sebuah bank di Pekan Batu 9, Taman Suntex, Cheras, dalam kejadian Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun yang bekerja dihampiri dua lelaki yang mendakwa mereka polis dan menahannya selepas mendakwa dia disyaki terbabit kes jenayah.

Menurut sumber, dua lelaki terbabit turut menggari tangan mangsa dan mengarahkannya mengikut mereka masuk dalam kereta yang dipandu seorang lagi lelaki.

“Mangsa dibawa menuju ibu negara dan dituduh melakukan kesalahan. Malah, mangsa juga diperas supaya menyerahkan wang kononnya bagi menyelesaikan kes itu.

“Namun, mangsa yang tidak berpuas hati dengan cara penahanan itu bertanya apa kesalahannya sebelum dikasari lelaki terbabit,” katanya.

Sumber berkata, lelaki terbabit merampas telefon bimbit dan dompet mangsa serta meminta mangsa menyerahkan nombor pengenalan peribadi (PIN) kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya.

“Lelaki terbabit cuba mengeluarkan wang mangsa menerusi ATM di sebuah stesen minyak di Hulu Klang. Namun, hanya memperoleh sejumlah wang dan gagal mengeluarkan semuanya kerana melebihi had pengeluaran.

“Ini menyebabkan mereka mengarahkan mangsa menghubungi isterinya dan menyerahkan buku bank bagi membuat pengeluaran baki wang RM12,000,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa ke rumahnya di Cheras dan lelaki terbabit menjemput isteri mangsa sebelum pasangan itu dibawa ke sebuah bank di Taman Suntex.

“Seorang daripada lelaki terbabit mengikut isteri mangsa mengeluaran wang di bank itu, manakala mangsa ditahan dalam kereta.

“Sebaik memperoleh wang tunai, mangsa dilepaskan dan ketiga-tiga lelaki terbabit meninggalkan pasangan itu di bank berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan dijalankan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close