DBKL & Polis Kawal Di Hadapan Rumah Ambiga

Polis dan anggota penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini membuat rondaan di kawasan kediaman Datuk S. Ambiga di Jalan Setiakasih 1, Bukit Damansara di sini.

Tinjauan Bernama mendapati dua buah van DBKL dengan 10 anggota penguatkuasa itu berada di situ petang tadi, di samping kereta peronda polis yang kelihatan mengawasi kawasan tersebut.

Menurut sumber DBKL, mereka berada di situ hari ini kerana menerima laporan ada kumpulan tertentu mahu mengadakan pasar malam di kawasan tersebut, yang mana menyalahi peraturan disebabkan tiada permit.

Bagaimanapun setakat pukul 7 malam ini, tiada peniaga atau kumpulan tertentu berada di lokasi tersebut.

Ambiga yang merupakan penganjur demonstrasi yang bertukar menjadi ganas di ibu negara 28 April lepas membuat laporan polis pada 10 Mei lalu setelah sekumpulan peniaga berhimpun dan membuka gerai burger di hadapan rumahnya sebagai tanda marah akibat kerugian susulan perhimpunan tesebut.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata kawalan polis di hadapan rumah Ambiga merupakan kawalan biasa bagi mencegah jenayah di kawasan perumahan itu.

“Bukan saja hal Ambiga, tapi hal biasa pun kita akan ronda,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Wan Bari ketika ditanya sama ada polis akan menahan individu yang menganggu ketenteraman Ambiga, berkata: “Ianya bergantung pada peruntukan undang-undang.’

Belum berlaku…kalau ada nanti, kita akan tengok peruntukan undang-undang.”

Facebook Comments
Close