Amaran Kepada Gerai Depan Sekolah Yang Jual Rokok Kepada Pelajar

Tindakan undang-undang boleh diambil kepada peniaga atau penjaja di luar kawasan sekolah yang mengambil kesempatan menjual rokok kepada pelajar.

Kompaun sehingga RM5,000 boleh dikenakan kepada mereka kerana telah melanggar peraturan 8 (1) iaitu menjual hasil tembakau kepada orang belum dewasa iaitu di bawah umur 18 tahun.

Gambar hiasan. Carian Google

Pengerusi Panel Penasihat Unit Kesihatan Seberang Takir, Md Azmi Abd Aziz berkata, tindakan tegas terpaksa diambil bagi menyedarkan peniaga dan penjaja ini kerana difahamkan ‘urus niaga’ itu terlalu aktif sejak akhir-akhir ini, melibatkan hampir keseluruhan kawasan sekolah di situ.

“Kami terima terlalu banyak aduan terutama dari ibu bapa yang tidak sanggup lagi melihat pelajar bebas merokok di luar kawasan sekolah selepas waktu sekolah.

“Peniaga dan penjaja di luar kawasan sekolah pula, difahamkan menjadi pembekal utama mereka mendapatkan rokok dengan mudah walaupun masih berpakaian seragam sekolah,” katanya.

Md Azmi yang juga Pengerusi Kepolisan Komuniti Balai Polis Gong Badak, di sini, berkata, pihaknya kini sedang membuat pemantauan bagi mengenal pasti taktik terkini yang digunakan peniaga serta penjaja terlibat bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Jika kami tanya kepada peniaga dan penjaja ini, sudah tentu mereka tidak akan mengaku menjual rokok kepada pelajar, jadi kami akan memasang perangkap sendiri bagi menangkap mereka ini.

“Selain itu, kami turut akan menjalankan operasi berterusan dalam usaha menangani permasalahan ini yang difahamkan sudah hampir 10 tahun berlarutan,” katanya.

Sementara itu, Md Azmi berkata, penjaja makanan ringan di luar kawasan sekolah juga boleh dirampas barang jualan jika didapati berurus niaga tidak mengikut peraturan ditetapkan.

“Ramai peniaga makanan ringan di luar kawasan sekolah tidak ikut peraturan ditetapkan seperti tidak melabelkan makanan dijual, tidak buat pemeriksaan kesihatan dengan mengambil suntikan typhim VI, menggunakan kertas surat khabar sebagai pelapik meja dan tidak memakai apron, penutup kepala serta pakai barang kemas semasa berurus niaga,” katanya.

Semalam, operasi menjaja, merokok dan ponteng sekolah telah diadakan melibatkan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) cawangan Utara, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Terengganu dan pejabat Penghulu Mukim Kuala Nerus.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close