Akibat Cedera Parah Kemalangan | Wanita Tangguh Perkahwinan

Kecederaan parah akibat kemalangan di persimpangan Kampung Bahagia, di sini, pada 16 Mei lalu menyebabkan perkahwinan mangsa, Siti Rozita Saidin, 26 terpaksa ditangguhkan.

Tunangannya, Zunaidi Mohamad, 36 memaklumkan kejadian berlaku pada kira-kira jam 3 petang dan Siti Rozita kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Menurutnya, semasa kejadian, Siti Rozita dalam perjalanan dari tempat kerjanya, iaitu sebuah pasar raya di Taman Melor, di sini, untuk balik ke rumahnya di Alor Bakong, Kuala Sungai Manik, di sini.

“Ketika sampai di tempat kejadian motosikal yang ditungganginya telah bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, Siti Rozita mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, badan serta kaki dan sehingga kini keadaannya dilaporkan masih kritikal,” katanya kepada Sinar Harian.

Zunaidi yang merupakan seorang pekerja kilang elektronik di Shah Alam, Selangor memaklumkan, baru melawat tunangnya dua hari lalu di HRPB, dan dimaklumkan tentang kejadian oleh keluarga bakal mertuanya pada petang hari kejadian.

“Kami dijadualkan untuk dinikah dan disandingkan di rumahnya pada 27 Mei, kemudian kenduri di rumah saya, di Felda Melati, Jengka 11 Bandar Tun Razak, Jengka Pahang pada 3 Jun nanti.

“Namun kejadian ini menyebabkan majlis ini terpaksa ditunda ke satu tarikh lain. Saya sedih memikirkan kejadian tidak terduga ini dan sentiasa berdoa agar Siti Rozita cepat sembuh,” katanya.

Katanya, kedua-dua keluarga akan berbincang untuk menetapkan tarikh baru perkahwinan mereka sebaik sahaja Siti Rozita sembuh dan dibenarkan pulang.

Sementara itu, wakil keluarga Siti Rozita, Hakim @Hasim Mohamad memohon maaf kepada semua penerima kad jemputan kahwin pasangan ini berikutan majlis walimatulurus yang dijadualkan pada 27 Mei dan 3 Jun nanti terpaksa ditunda ke tarikh lain.

“Kami telah membuat semua persiapan untuk anak saudara saya (Siti Rozita), termasuk mengedarkan kad jemputan kahwin kepada saudara mara, sahabat handai serta penduduk kampung,” katanya ketika ditemui, semalam.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close