Warga Emas terima BR1M Dipukul & Disamun

Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diterimanya bukan saja disamun malah turut dibelasah penjenayah menyebabkan dia terpaksa menerima 10 jahitan di kepala di Kawasan Merah di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, Pan Tham Khoi, 79, dipukul suspek menggunakan objek keras dipercayai topi keledar menyebabkannya rebah dan hampir tidak sedarkan diri. Menurut Tham, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menemui rakannya di sekitar kawasan berkenaan.

“Ketika membuka pintu rumah, saya terkejut apabila dihampiri seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 40-an yang terus menyerang menggunakan objek keras.

“Saya diserang pada bahagian kepala dan muka sehingga terjatuh ke lantai serta nyaris pengsan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam, ketika kunjungan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Nilai (MPN) merangkap Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Nilai, Yee Hee Long.

Tham yang tidak berkahwin berkata, suspek merampas dompetnya yang mengandungi wang BR1M berjumlah RM400 diterimanya bulan lalu.

“Saya meminta bantuan saudara untuk dihantar ke hospital berdekatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Kes berkenaan masih sedang disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close