Wanita Dihempap Pokok Rhu Ketika Berkelah

Seorang wanita yang sedang berkelah bersama keluarganya di Pantai Hiburan, dekat sini, maut selepas dihempap sebatang pokok rhu.

Mangsa, Norzuraini Rahim, 22, berasal dari Keratong mati di tempat kejadian akibat patah tengkuk.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, ASP Zainor Mujahidin Mat Yudin berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, mangsa bersama beberapa ahli keluarganya berkelah di pantai berkenaan.

“Dalam kejadian itu mangsa dan keluarganya sedang berkemas-kemas untuk pulang setelah berkelah di situ.

“Tiba-tiba angin bertiup kencang sehingga menyebabkan beberapa dahan pokok rhu patah dan tumbang, salah satu daripadanya telah menghempap mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

Kata Zainor, mayat mangsa sudah dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Keratong pagi tadi. – BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close