Wanita Digelar ‘Black Widow’ Dihukum Mati

Seorang wanita Jepun, yang popular dengan panggilan ‘Black Widow’ kerana membunuh tiga lelaki, dipercayai bekas kekasihnya pada 2009 kerana duit, dikenakan hukuman mati.

Mahkamah memutuskan Kanae Kijima, 37, bersalah membunuh Yoshiyuki Oide, 41; Takao Terada, 53; dan Kenzo Ando, 80, yang dikenali menerusi internet.

Hakim yang mendengar kes itu menegaskan tiada ruang bagi hukuman ringan kerana dia terus-menerus melakukan perbuatan jenayah yang kejam.

“Defendan telah berulang kali melakukan perbuatan jenayah yang meragut nyawa tiga orang,” kata Hakim Mahkamah Daerah Saitama, Kazuyuki Okuma.

Hakim berkata, Kijima, yang didakwa seorang wanita simpanan berbayar, melakukan perbuatan itu untuk hidup mewah tanpa bekerja.

Laporan media memetik pendakwa raya berkata, wanita itu membunuh mereka dengan harapan tidak perlu membayar balik wang yang diberikan oleh lelaki-lelaki berkenaan.

Peguam bela pula berhujah ketiga-tiga lelaki berkenaan mati kerana membunuh diri selepas berpisah dengan Kijima atau mati secara kebetulan.

Dua daripada mangsa ditemui mati di rumah mereka di wilayah Chiba manakala yang ketiga, Oide, ditemui mati dalam kereta yang disewa di Saitama.

Dia membunuh ketiga-tiga lelaki itu dengan meracuni mereka, dengan membakar briket bagi menghasilkan karbon monoksida selepas memberi pil tidur.

Bagaimanapun wanita itu menegaskan, dia tidak bersalah dan mahu mengemukakan rayuan berhubung hukuman yang dijatuhkan.

Kes itu menarik perhatian di Jepun dengan lebih 1,000 orang berbaris panjang untuk masuk ke mahkamah yang hanya menyediakan 50 kerusi.

Facebook Comments
Close