Wanita Dakwa Tersepit & Diheret Monorel

Seorang eksekutif pemasaran cedera di badan, tangan dan patah gigi selepas mendakwa tersepit di pintu monorel dan diseret tujuh meter, di hentian Bukit Bintang, 9 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa dikenali Cui, 24, menggunakan perkhidmatan awam itu untuk pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

Katanya, dia cuba masuk ke dalam monorel dan keluar semula kerana gerabak sesak dengan penumpang.

“Ketika keluar, tangan kiri saya tersepit di pintu monorel. Petugas di situ cuba menolong dengan mengarahkan pemandu menghentikan monorel, tetapi gagal.

“Saya kemudiannya jatuh di landasan dan cedera di beberapa bahagian badan dan patah tiga batang gigi,” katanya di Bangunan MCA Jalan Ampang di sini, semalam.

Menurutnya, dia dibantu kakitangan syarikat tersebut dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan.

“Saya dirawat sebagai pesakit luar dan jumlah bayaran rawatan sebanyak RM1,000. Rawatan gigi tidak dilakukan kerana kos perbelanjaan yang tinggi mencecah RM4,700,” katanya.

Cui berkata, dia menerima surat dari syarikat pengangkutan itu pada 10 Februari lalu yang memintanya menuntut ganti rugi sebagai kos rawatan.

Menurutnya, pada 20 Mac lalu, dia membalas surat tersebut, tetapi tiada maklum balas diterimanya sehingga hari ini.

Katanya, dia akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat tersebut tidak memberi maklum balas dalam tempoh seminggu dan mendakwa syarikat itu cuai sehingga menyebabkan dia cedera.

Cui juga membuat laporan polis di Balai Polis Kajang berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya akan meneliti aduan tersebut dan sekiranya tiada maklum balas, peguamnya akan mengambil tindakan selanjutnya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close