Wang Kertas Malaysia Baru Mulai 16 Julai

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan bahawa wang kertas Malaysia siri baharu akan berada dalam edaran mulai 16 Julai.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata wang kertas siri baharu itu yang bertemakan ‘Keunikan Malaysia’ terdiri daripada denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100.

“Wang kertas RM50 dalam siri ini telahpun berada dalam edaran sejak bulan Disember 2007 dan akan terus berada dalam edaran,” kata BNM.

Bank Negara berkata dalam membuat persediaan bagi edaran wang kertas siri baharu ini, ia telah bekerjasama rapat dengan institusi kewangan, sektor perniagaan, vendor pengendali mesin wang tunai dan pihak berkuasa tempatan sejak Disember tahun lepas, untuk memudahkan peralihan yang lancar.

“Beberapa sesi perbincangan dan interaksi dengan pihak berkepentingan tersebut telah diadakan bagi memastikan ketersediaan sistem dan proses untuk edaran wang kertas baharu,” kata bank pusat itu.

Bank Negara menggesa vendor yang mengendalikan mesin wang tunai memastikan mesin berkenaan boleh menerima wang kertas siri baharu dan lama untuk kemudahan orang ramai menjelang tarikh tersebut.

-BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close