Teka Ketawa Suria FM | Pemandu Teksi Menang RM32,400

Tuah menyebelahi seorang pemandu teksi Ahmad Rusdi Mat Daud apabila dia memenangi wang tunai sebanyak RM32,400 dalam peraduan Ketawa & Ceria Bersama Suria, Menang Sehingga Suku Juta anjuran stesen radio Suria FM.

Lelaki berusia 44 tahun itu mara ke peringkat akhir selepas berjaya meneka lima rakaman ketawa selebriti mengikut turutan yang tepat menerusi peraduan yang berlangsung pada 19 Mac hingga 13 April lalu di radio tersebut.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, bapa kepada dua anak ini berkata, dia tidak menyangka akan bernasib baik pada pertandingan akhir peraduan itu.

“Saya langsung tidak letak apa-apa sasaran. Apabila saya dimaklumkan oleh Suria FM sebagai 15 finalis, saya hanya datang dengan harapan untuk mencuba nasib.

“Pada tahun lalu, saya pernah menyertai peraduan Proton Inspira juga bersama Suria FM tetapi kurang bernasib baik. Mungkin, sudah rezeki saya untuk menang pada kali ini,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan akhir itu di Tropicana City Mall, di sini, petang Isnin.

Ditanya mengenai perancangan dengan wang kemenangan itu, bapa kepada dua anak ini berkata, dia berhasrat untuk menggunakan sebahagian wang itu bagi melunaskan hutang.

“Setakat ini, saya belum fikirkan apa yang akan dilakukan dengan wang ini. Secara kebetulan, sebelum saya datang ke sini (bertanding), ada yang menuntut hutang daripada saya.

“Tidak sangka pula saya akan menang besar, jadi sudah tentu saya akan gunakan wang ini untuk lunaskan hutang yang tertunggak itu,” katanya.

Ahmad Rusdi ketika sedang mengumpulkan wang spesimen pada pertandingan akhir yang diadakan di Tropicana City Mall, Isnin. Turut kelihatan dua penyampai segmen Ceria Pagi Di Suria, pelawak Nabil Ahmad (kiri) dan Kenchana Devi.

Sebagai kejutan, pihak pengurusan Suria FM turut menambahkan wang tambahan sebanayak RM10,000 sebagai bonus kepadanya.

Pada pertandingan akhir itu, Ahmad Rusdi dan 14 finalis lain dikehendaki masuk ke dalam sebuah kotak besar bersama sejumlah wang spesimen.

Dalam masa 30 saat, mereka perlu merebut wang yang berterbangan di dalam kotak itu. Peserta yang mengumpulkan jumlah wang terbanyak dipilih sebagai pemenang.

Sementara itu, peserta yang mengumpul wang spesimen kedua tertinggi, Rostam Wahid menerima sagu hati RM100 dan pengurut kaki Ogawa.

Finalis yang mengumpulkan wang spesimen ketiga terbanyak iaitu Norusapila Morudin pula mendapat sagu hati RM100 dan penapis air Coway.

12 finalis lain tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing turut menerima wang sagu hati RM100 setiap seorang.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penyiaran Suria FM, Yusri Abu Samah berkata peraduan seumpama itu adalah sebagai tanda penghargaan radio berkenaan kepada pendengar setia.

“Hanya dengan cara ini, kami dapat menunjukkan penghargaan kepada para pendengar yang setia menyokong Suria FM.

“Peraduan seperti ini akan terus diadakan pada masa akan datang. Mungkin kami akan anjurkan satu lagi peraduan baru selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Pertandingan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan penyampai radio berkenaan.

Penyanyi Alyah dan Dayang Nurfaizah pula muncul sebagai penyanyi undangan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close