Tan Peng Chan Disahkan sebagai Seorang Lagi Rakyat Malaysia Terkorban Di Hatyai

Seorang lagi rakyat Malaysia disahkan menjadi mangsa yang maut dalam kes pengeboman di sini menjadikan dua rakyat Malaysia maut dalam kejadian Sabtu lepas.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata mangsa kedua maut dikenali sebagai Tan Peng Chan, 39, dari Kuala Kedah, yang sebelum ini merupakan mangsa gagal dikenal pasti mayatnya.

“Walaupun ujian DNA yang dijalankan untuk mengesahkan sama ada mayat yang tidak dapat dikenal pasti itu adalah mayat Tan hanya akan dikeluarkan petang esok atau Rabu, keluarga mangsa telah mengesahkan mayat itu adalah Tan.

“Ini adalah berdasarkan kepada cincin dan tatu pada mayat itu,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa yang sebelum ini disahkan meninggal dunia akibat kejadian pengeboman di sebuah hotel itu, dipercayai akibat letupan bom kereta, adalah Low Thian Hock, 46, yang berasal dari Kulim, Kedah.

Seramai lima lagi rakyat Malaysia masih menerima rawatan di dua hospital.

Di Hospital Songkhla Nagarind, mangsa berkenaan adalah Lew Kim Lai, 39, yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Lim Hock Bee, 37, dan Wong Sze Ee, 32, dan Fook Hock Chuan, 33, manakala seorang lagi Choo Kok Boon, 46, menerima rawatan di Hospital Rajyindee. – Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close