Surau Gua Madu Di Kampung Batu Papan | Surau Dalam Gua Yang Unik

Jarang ditemui surau dibina dalam gua batu kapur di negara ini namun, di gua batu kapur yang dikenali Gua Madu terdapat surau yang dibina penduduk Kampung Batu Papan untuk memudahkan pengunjung solat berjemaah.

Surau berkenaan boleh memuatkan lebih 20 jemaah dan turut menyediakan tempat mengambil air wuduk menerusi pengaliran air dari batu gua tersebut.

Bagaimanapun, surau dalam gua itu terpaksa dikunci, dan hanya dibuka pada waktu masuk solat sahaja untuk mengelakkan golongan berkenaan menyalahgunakan surau dengan menjadikan tempat untuk berasmara.

Pengunjung, Che Husin Ahmad, 45, berkata, gua batu kapur itu sentiasa dikunjungi pengunjung kerana bukan sahaja keindahan alam semulajadinya juga adanya surau dalam gua.

Dia mengakui tempat pelancongan lain yang ada gua tidak mempunyai kemudahan­ seperti itu, dan kerjasama penduduk tempatan berbuat demikian amat baik.

“Surau dalam gua itu cukup selesa untuk pengunjung berhenti rehat sambil menunaikan solat,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Salleh Hassan, 52, pula berkata, sejarah Gua Madu itu memang menarik sekali kerana sebelum ini menjadi tempat lebah membuat sarang, dan memberi peluang penduduk mengambil madunya.

Dia berkata, berhampiran gua itu juga mempunyai pengaliran air sungai yang jernih.

“Kita bersyukur kerana Gua Musang mempunyai banyak tempat menarik dan bersejarah bagi menarik lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close