Sri Wani Akui Hidup Terganggu Kebelakangan Ini

“Ramai wartawan mengekori, saya tak boleh keluar (rumah),” begitu kata Sri Wani Choo Abdullah, isteri yang didakwa lelaki oleh suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Sri Wani berkata demikian selepas Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan membenarkan permohonannya untuk memasukkan pindaan dalam permohonan injunksi untuk menghalang madu-madunya daripada menyebarkan fitnah terhadapnya. Mahkamah kemudian mengarahkan Sri Wani membuat pindaan itu segera dan menyerahkannya kepada responden.

Prosiding semalam sepatutnya ditetapkan untuk Sri Wani, 37, menyerahkan permohonan injunksi, namun dia memohon kebenaran mahkamah untuk membuat pindaan dan mahkamah membenarkannya.

“Saya mohon untuk membuat pindaan terhadap permohonan injunksi ini kerana saya ingin masukkan terma supaya responden tidak menyebarkan dan tidak memberi sebarang kenyataan,” katanya.

Sri Wani memberitahu mahkamah, sebelum ini suaminya, bekas dekan sebuah institusi pengajian tinggi awam, Dr Bahrom Sanugi, 61, yang diwakili peguam syarie, Muhammad Hafiz pernah berjumpa dan berbincang untuk menyelesaikan kes itu secara baik, namun Sri Wani mendakwa lelaki itu bertindak sebaliknya.

“Sebelum ini pihak sebelah sana (Bahrom) cakap tak nak jatuhkan maruah sesiapa, tetapi mereka memberikan maklumat saya kepada media.

“Media siarkan tempat tinggal dan tempat saya berniaga hingga membahayakan keselamatan saya,” katanya.

Dia turut memaklumkan sudah membuat laporan polis berhubung gangguan dihadapinya dan berhasrat memasukkan laporan itu dalam pindaan permohonan injunksi berkenaan.

Abdul Walid mengarahkan Sri Wani memasukkan laporan polis itu dan sebarang pindaan lain segera serta memberi tempoh seminggu hingga 19 April depan untuk pengusaha butik kecantikan itu berbuat demikian.

Selain itu, mahkamah mengarahkan Bahrom memfailkan jawapan dua minggu dari tarikh pemohon menyerahkan afidavit dan menetapkan 17 Mei depan untuk perbicaraan kes itu.

Mengenai keputusan mahkamah menetapkan 23 April bagi keputusan sama ada permohonan Bahrom untuk mengarahkan Sri Wani menjalani ujian DNA bagi mengesahkan jantinanya diterima atau tidak, Sri Wani berkata, dia akan membawa saksi pada tarikh itu.

Penampilan Sri Wani di mahkamah semalam menarik perhatian kerana memakai jubah hitam dan bertudung ala purdah berwarna jingga dengan menutup wajahnya bagi mengelak dirakam jurugambar.

Facebook Comments
Close