Remaja Nyaris Maut | Motosikal Dirempuh Kereta

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Waja di Jalan Air Merah kira-kira jam 5 petang semalam.

Menurut mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas, dia datang dari arah pekan Kulim menuju ke lampu isyarat jalan yang sama.

Mangsa berkata, tiba di selekoh Taman Desa Impian kereta Proton Waja keluar dari selekoh untuk menyeberangi jalan sebelum bertembung dengan mangsa.

“Saya dalam perjalanan menuju ke Taman Selasih. Tiba di selekoh Taman Desa Impian kereta Proton Waja itu muncul menyebabkan saya tidak sempat membrek dan bertembung.

“Akibat rempuhan kuat, motosikal saya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya.

Mangsa berkata, dia tercampak ke jalan bertentangan bagaimanapun bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayop menasihatkan penunggang motosikal supaya tidak menunggang motosikal mereka dengan laju terutama di jalan lurus di sekitar pekan Kulim kerana ia boleh mengakibatkan kemalangan sekiranya terdapat kenderaan melintas atau keluar selekoh.

“Sehingga kini kebanyakan kemalangan yang berlaku berpunca dari kecuaian kedua-dua pihak. Pemandu dan penunggang motosikal seharusnya bersikap sabar ketika memandu kenderaan mereka,” katanya.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila mangsa terlibat cuai dan tidak bersikap peka apabila memandu.

“Selain terlibat dalam kemalangan, kecuaian juga boleh mengakibatkan pengguna jalan raya lain terbunuh.

“Sehingga kini kebanyakan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal. Ini adalah kerana penunggang motosikal terdedah kepada pelbagai kecederaan apabila terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close