Remaja Maut Lemas Dalam Terusan

Seorang remaja dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya maut apabila ditemui orang ramai tertiarap dalam terusan di Kampung Alor Besar, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, motosikal ditunggang Mohd Suhaimi Mohd Daud, 18, dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam terusan berkenaan dan mangsa dipercayai lemas.

Majikan mangsa, Bukhari Lebai Chik, 56, berkata, mangsa selalunya sampai di rumahnya sekitar jam 10 pagi sebelum keluar bekerja di sebuah sawah miliknya bersama seorang anaknya dengan menaiki kereta.

“Saya difahamkan, anak saya sempat menghubungi arwah kira-kira jam 10 pagi bertanyakan lokasinya dan arwah sempat menyatakan dia baru sampai di terusan Kampung Alor Besar, namun tidak muncul walaupun selepas beberapa jam.

“Jarak antara terusan kampung itu dengan rumah saya tidak jauh, sekitar 10 minit perjalanan saja. Namun, anak saya berasa tidak sedap hati kerana arwah tidak pernah lewat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.

Bukhari berkata, dia amat terkejut selepas mendapat tahu Mohd Suhaimi terjatuh ke dalam terusan itu sehingga meragut nyawanya.

Katanya, dia tidak menyangka pertemuan mereka baru-baru ini yang terakhir sebelum kejadian meragut nyawa mangsa.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu selain memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close