Remaja Langgar Lembu Maut Dalam Perjalanan Ke Hospital

Seorang remaja maut setelah motosikal yang ditungganginya melanggar seekor lembu di Kilometer 122 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kemasik, di sini malam tadi.

Ekoran perlanggaran itu yang berlaku 10.30 malam, Mohd Syazani Fadli Mat Razak, 19, yang bekerja di pelabuhan Gebeng, Kuantan terjatuh dan tidak sedarkan diri akibat cedera parah dan mati semasa dibawa ke Hospital Kemaman.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Abdul Marlik Hakim Johar berkata ketika kejadian mangsa bersama seorang saudaranya, Abdul Hadi Ariffin, 22, dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Gebeng, Kuantan selepas minum di Paka.

Ketika sampai di tempat kejadian, seekor lembu melintas dan menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh binatang tersebut dan tercampak.

“Setelah jatuh, mangsa tidak sedarkan diri manakala Abdul Hadi yang mengalami kecederaan di bahagian kepala menahan sebuah kenderaan yang membawa mangsa ke hospital.

“Mangsa yang berasal dari Bukit Payung, Marang, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital akibat mengalami kecederaan dalaman,” katanya.

Mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya sementara Abdul Hadi masih dirawat di hospital.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close